2.0 Latar Belakang Sebelum Kedatangan Islam Di Melaka
Sebelum kedatangan Islam di Melaka, masyarakat
Melayu mempercayai kepercayaan seperti animisme dan Hindu-Buddha yang diwarisi
daripada nenek moyang mereka. Kehidupan mereka penuh dengan unsur kepercayaan
tahyul dan karut seperti roh dan jiwa. Sebaliknya kedatangan Islam telah
menukar kepercayaan dan gaya hidup rakyat Melaka. Islam merupakan sebuah agama
yang sangat sesuai untuk semua lapisan masyarakat dalam semua zaman. Islam adalah
berteraskan aqidah, ibadah, syariah dan akhlak yang memberikan kebahagian di
dunia dan di akhirat. Ini menyebabkan agama Islam mudah diterima dan difahami
oleh seluruh masyarakat Melaka. Dalam aspek sosial, Islam menegaskan bahawa
tiada perbezaan darjat dan orang yang bertaqwa sahaja yang mulia di sisi Allah
S.W.T. Islam memberi jaminan dan keadilan sosial kepada umatnya tanpa
membezakan antara yang kaya atau miskin. Malahan Islam sentiasa menanamkan
sifat-sifat Mahmudah (terpuji) dan mengelakkan sifat-sifat Mazmumah (tercela).
Sementara dari aspek ekonomi pula, Islam mengharamkan umatnya menipu dan
melakukan riba' sebaliknya Islam mempunyai peraturan tertentu yang berlandaskan
hukum Islam seperti mu'amalat, zakat dan sebaginya. Dalam aspek politik, Islam
menggalakkan umatnya berlaku adil dan tidak mengambil rasuah ianya akan membawa
kepada kehancuran masyarakat dan negara. Keadaan ini menyebabkan Islam
mempunyai daya tarikan kuat kepada rakyat Melaka yang sebelum ini dipengaruhi
kefahaman Hindu yang kompleks dan rumit terutama sistem kasta yang menyukarkan
keadaan dalam mewujudkan perpaduan dan kerjasama antara satu sama lain.
Di samping itu, perdagangan merupakan salah satu aspek penting dan berkesan dalam proses
mengembangkan dakwah Islamiyyah di Kesultanan Melayu Melaka. Pedagang Arab,
Parsi, India dan Melaka telah berdagang sesama mereka sejak beberapa kurun
sebelum Masihi hingga ke zaman kedatangan Islam pada abad ke-7 dan ke-8 Masihi.
Mereka telah berjaya mengislamkan penduduk tempatan dengan mengadakan hubungan
baik dengan para pembesar tempatan dan saudagar-saudagar dari kerajaan lain
seperti Perlak, Pasai dan Aceh. Terdapat segelintir daripada pedagang-pedagang
tersebut menetap sementara untuk menyebarkan dakwah kepada rakyat Melaka.
Seterusnya, Islam mungkin tersebar di Zaman Kesultanan Melayu Melaka sejak awal
abad Hijrah lagi menurut T. W. Arnold. Kemungkinan ini berdasarkan laporan
pedagang-pedagang Arab yang telah berdagang dengan Melaka dan China. Kedudukan
strategik Melaka sebagai sebuah pelabuhan maritim yang bertaraf antarabangsa
telah menggalakkan pedagang Arab, Parsi dan India berdagang di Melaka.
Sementara menunggu perubahan angin monsun, para pedagang dari Timur dan Barat
menjadikan Melaka sebagai pusat persinggahan. Pedagang-pedagang Arab secara
tidak langsung menyebarkan dakwah Islamiyyah melalui persinggahan ini.
Sebahagian mereka menjadi guru agama dan menjadikan surau dan masjid sebagai
tempat pengajian agama. Selain itu, pelabuhan Melaka menjadi tumpuan pedagang dari
Gujerat, Palembang, Jawa dan China kerana kemudahan perdagang yang baik dan
keselamatan yang terjamin. Ini menjadikan Melaka sebagai tempat pertukaran
barang-barang di mana ianya telah menarik perhatian saudagar-saudagar Islam
dari Arab dan India untuk berdagang ke Melaka.
Tambahan pula, kekaburan agama
Hindu ialah salah satu sebab penyebaran Islam ke Melaka. Agama Hindu merupakan
satu fahaman yang amat kompleks dan sukar difahami walaupun telah tersebar ke
Melaka semenjan berabad-abad. Ajaran Hindu juga lebih mentikberatkan soal
dongeng dan dewa-dewa yang hanya difahami oleh sami-sami mereka sahaja. Keadaan
ini telah menjejaskan kepercayaan penganut-penganut agama tersebut. Sebaliknya
agama Islam adalah salah satu agama yang mudah difahami dan dapat diterima oleh
semua golongan. Hanya dengan menerima konsep ketuhanan yang esa dan Nabi
Muhammad sebagai pesuruhNya, maka keislaman seseorang itu telah diterima.
Penganut-penganut agama Islam dijelaskan dengan konsep Tuhan yang menjadikan
seluruh alam, mempunyai kekuasaan dan tidak menyerupai apa-apa benda sekalipun.
Hal ini dengan mudah menarik orang-orang Melayu menerima Islam. Jika diteliti
dengan lebih mendalam, golongan ulama' dan ahli sufi juga memainkan peranan
penting dalam perkembangan agama Islam ke Melaka. Sifat mereka yang mudah
bergaul dan beramah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat telah menarik
minat penduduk tempatan untuk mempelajari Islam. Sehubungan dengan itu, suasana
harmoni yang terjalin di dalam perhubungan antara ulama' dengan golongan
saudagar yang telah memeluk Islam telah menjadikan mereka berpengaruh besar.
Para ulama' berperanan penting dalam pentadbiran kerajaan-kerajaan seperti
Perlak, Samudera Pasai, Acheh, Melaka dan sebagainya. Contohnya, dalam kerajaan
Acheh, lahir ramai tokoh-tokoh ulama' yang berperanan penting dalam menyebarkan
Islam. Antaranya ialah Hamzah Fabsuri, Nuru al-Din al-Raniri, Abdul al-Rauf
Singkel dan Syams al-Din al-Sumatra. Mereka telah hasilkan banyak karya-karya
berbentuk keagamaan. Kerajaan-kerajaan Islam seperti Perlak, Pasai, Melaka dan
Acheh wujud pada abad ke-14, 15 dan 16. Penyebaran Islam menjadi semakin pesat
oleh kerana wujudnya kerajaan-kerajaan tersebut. Faktor penentangan kuasa
Kristian seperti Portugis telah membawa kepada perkembangan Islam di Melaka
dengan lebih pesat lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan