Rabu, 25 Januari 2017

7.0 Peranan Mubaligh

Pendakwahan oleh para ulama dan ahli-ahli sufi merupakan cara penyebaran Islam yang paling meluas dan berkesan. Pendakwahan ini telah dijalankan sejak abad ke-8 M lagi.
Pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz (717-720 M), pengiriman pendakwah-pendakwah ke Asia Tenggara telah giat dijalankan. Beliau berjaya mengislamkan pemerintah Kerajaan Suwarnabhumi atau Melayu Jambi yang bernama Sri Indravarman. Sri Indravarman ialah seorang Maharaja Srivijaya yang namanya dikenali dalam catatan China sebagai Shih-li-t-’o-pa-mo. Pada tahun 100 H (718 M) Maharaja Srivijaya itu mengutus sepucuk surat kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan memohon baginda menghantar seorang ulama bagi menerangkan tentang agama Islam. Kerajaan Majapahit bertukar nama kepada Sribuza Islam kemudiannya.

Sekitar tahun 820 M, sebuah rombongan mubaligh Mazhab Syiah yang diketuai nakhoda khalifah telah sampai di Perlak. Rombongan itu telah berjaya mengislamkan pemerintah dan penduduk Perlak dan menjadikannya sebagai kesultanan Islam yang pertama di Asia Tenggara. Oleh itu pada peringkat awal ini, Islam yang tersebar di sekitar pesisir pantai utara Sumatera adalah Syiah.

Menjelang abad ke-10 M, keadaan dunia Islam kucar-kacir. Kerajaan Abbasiyah semakin lemah menyebabkan wilayah-wilayah di bawah kuasanya mula memerdekakan diri. Peperangan untuk merebut wilayah di antara kerajaan-kerajaan kecil itu sering sahaja berlaku. Keadaan kacau-bilau dan porak peranda ini telah mengecewakan segolongan masyarakat Islam ang beranggapan bahawa kekacauan dan keadaan ini berlaku akibat daripada umat Islam yang terlalu mementingkan kebendaan masa itu. Oleh itu golongan ini telah mengasingkan diri daripada orang ramai dan hidup sebagai ahli-ahli sufi yang mengamalkan tarikat dan tasawuf.


Ahli-ahli tarikat ini kemudian telah keluar dari Tanah Arab untuk menyebarkan agama Islam mengikut fahaman mereka. Merekalah yang memainkan peranan penting dalam penyebaran agama Islam pada abad ke-13 M dan selepasnya di Nusantara sekitar tahun 1260-an utusan dari Makkah yang dipimpin oleh seorang ulama Sufi bernama Syeikh Ismail al-Siddiq datang untuk menyebarkan Islam di Asia Tenggara. Bersama-sama beliau ikut serta seorang ulama sufi dari Malabar India, bernama Fakir Muhammad. Mengikut Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu mereka telah menyebarkan agama di Lamburi (Acheh), Perlak dan Pasai. Di Pasai juga telah didatangi ulama seperti Syarif Amir Sayyid al-Syirazai dan Tajuddin al-Asfahani. Selain itu para ulama yang menyebarkan Islam di Melaka boleh dikatakan semuanya terdiri daripada ahli sufi. Antaranya Syeikh Abdul Aziz, Maulana Abu Bakat dan Maulana Yusuf. Setiap ulama sufi sampai di Asia Tenggara mengajar agama secara formal yang pada mulanya di istana-istana dan kemudian di masjid-masjid atau rumah-rumah mereka. Institusi ini kemudian telah berkembang menjadi sekolah-sekolah tersendiri yang dikenali sebagai pondok atau pensantren. Di Acheh ia dikenali sebagai dayah (yang berasal daripada perkataanzawiyah). Dengan adanya institusi-institusi pendidikan ini membolehkan agama Islam diajar dengan lebih mendalam dan sempurna. Di samping itu, institusi ini juga telah melahirkan ulama dan ahli-ahli sufi tempatan yang kemudian menggantikan ulama luar menjalankan tugas menyebarkan agama Islam di kawasan ini. Dalam zaman keagungan kerajaan Acheh pada abad ke-16 dan ke-17, telah lahir ulama sufi yang terkenal seperti Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumatrani dan Abdul Rauf Singkel. Di Jawa telah lahir ulama tasawuf yang terkenal yang dipanggil Wali Songo. Mereka adalah sembilan ulama yang terkemuka yang berperanan menyebarkan Islam di pulau itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan