Rabu, 25 Januari 2017

5.0 Penaklukan
Penaklukan juga tidak kurang pentingnya menjadi faktor pendorong tersebarnya Islam di Nusantara ini. Apa yang dimaksudkan ialah penaklukan yang dilakukan oleh sesebuah negara Islam ke atas daerah lain. Jika daerah yang ditawan itu belum Islam maka dengan penaklukan itu para pembesarnya akan terpengaruh dengan Islam kerana motif politik, kedudukan, ekonomi dan sebagainya. Jika daerah yang ditawan itu telah Islam maka dangan penaklukan itu, Islam dapat dikembangkan dengan lebih berkesan lagi.

Kerajaan Pasai sebagaimana yang diterangkan dalam catatan Ibnu Batutah telah meluaskan kuasa politiknya ke daerah sekitarnya dengan peperangan lalu Islam tersebar di daerah tersebut.

Namun peperangan bukanlah satu cara yang digunakan untuk menyebarkan Islam seperti yang didakwa oleh Barat, meskipun ada penaklukan yang berlaku tetapi bukan dengan cara kekerasan dan paksaan.

Memang banyak peperangan yang berlaku yang embawa kepada pengislaman wilayah yang dikalahkan oleh kerajaan Islam. Sebagai contoh, penaklukan Melaka ke atas beberapa negeri telah menyebabkan negeri itu menerima Islam. Melaka semasa zaman
kekuasaan Bendahara Tun Perak telah berjaya menakluki beberapa daerah di Tanah Melayu dan Sumatera seperti Pahang, Terengganu, Patani, Kampar, Inderangiri, Rokan, Siak, Johor, Bangkalis dan lain-lain.
Oleh itu Islam tentunya dapat disebarkan dengan mudahnya di daerah jajahan takluk tersebut. Begitu juga dengan penaklukan Demak ke atas Majapahit telah mengislamkan penduduk kawasan pedalaman Pulau Jawa itu.

Kerajaan Acheh yang merupakan sebuah empayar Islam yang tersebar di abad 16 dan 17 di Asia Tenggara ini yang mempunyai jajahan takluk yang luas di Sumatera dan Tanah Melayu tentunya dapat menyebarkan Islam dengan mudah juga di daerah tanah tajahannya itu. Memangnya ada tercatit dalam sejarah Acheh bahawa kerajaan Acheh telah mengirimkan para pendakwah Islam ke daerah tanah jajahannya itu di Tanah Jawa.

Kerajaan Islam Demak juga telah menakluki daerah-daerah yang diperintah oleh kerajaan-kerajaan Hindu. Misalnya kerajaan Hindu Majapahit telah ditewaskan dan dijadikan tanah jajahan takluknya. Dengan ini maka Majapahit bertukar menjadi sebuah negara Islam.
Di samping itu seperti yang diperkatakan sebelum ini, kesetiaan rakyat Melayu (penduduk Asia Tenggara) kepada raja telah menyebabkan mereka dengan mudah memeluk Islam. Perkara ini turut jelas dapat dilihat di Jawa. Setelah Demak menawan Majapahit dan mengambil alih pemerintahan kerajaan Jawa yang teragung itu, hampir seluruh penduduk kawasan itu memeluk Islam. Golongan yang tidak mahu menerima Islam telah melarikan diri ke Bali dan kawasan-kawasan yang dikuasai oleh orang bukan Islam. Mereka memeluk Islam bukan dipaksa oleh Demak tetapi mereka mengikut agama orang yang memerintah mereka.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan